Friday, October 16, 2009

Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu Fardhu Kifayah

Di dalam Islam, ada dua bentuk ilmu, yakni ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ‘ain ialah ilmu yang wajib dipelajari dan diamalkan oleh setiap orang Islam. Ia merupakan tanggungjawab individu. Dalam fardhu ain ada Tauhid yang menghurai tentang aqidah, ada Fiqh yang membincang tentang syariat dan ada Tasauf yang menerangkan tentang akhlak. Kesemua ini mesti dipelajari dan diamalkan oleh setiap individu Islam.

Ilmu fardhu kifayah pula ialah ilmu yang wajib dipelajari dan diamalkan oleh sebahagian ahli masyarakat. Ia merupakan tanggungjawab sosial. Dalam fardhu kifayah ada bidang pembangunan, ekonomi, sosial, politik, kedoktoran, perundangan, kebudayaan, dan sebagainya. Dalam setiap bidang, kalau sudah ada ahli masyarakat berkenaan yang terlibat, orang lain dalam masyarakat berkenaan tidak lagi wajib terlibat. Semua sudah terlepas dari tanggungjawab sosial itu.

Berdasarkan kepada pembahagian ini, secara umumnya bidang pembangunan jatuh dalam kategori fardhu kifayah. Namun begitu, ini tidak bererti pembangunan itu terpisah dari fardhu `ain. Fardhu `ain dan fardhu kifayah sebenarnya adalah bersepadu. Antara keduanya, fardhu ainlah tunjangnya. Tanpa fardhu `ain sebagai tunjang, fardhu kifayah tidak bererti apa-apa. Begitulah tanpa ilmu fardhu `ain, pembangunan tidak boleh dikira sebagai berteraskan Islam. Malah dalam kebanyakan hal, pelaksanaan dan pengamalan ilmu fardhu `ain itulah yang membentuk sistem pembangunan berteraskan Islam.

Misalnya, di dalam Fiqh disebutkan tentang kaedah bermuamalat, umpamanya dalam bab jual-beli. Pelaksanaan jual-beli secara Islam yang lengkap dengan `aqad dan sebagainya tidak mungkin berlaku kecuali ada barangan atau perkhidmatan yang hendak dijual dan dibeli. Tetapi barangan atau perkhidmatan apakah yang hendak dijual dan dibeli itu?
Pilihan barangan atau perkhidmatan yang hendak dijual beli itu mestilah berdasarkan kepada keutamaan. Keutamaan barangan atau perkhidmatan ini pula antara lain boleh ditentukan oleh ilmu Tasauf. Antaranya Ilmu Tasauf menceritakan betapa makanan itu menempa hati. Oleh kerana hati merupakan penentu kepada baik buruknya seseorang, maka makanan bersih di sisi syari’at adalah keperluan utama manusia. Makananlah oleh itu yang paling utama dijual-beli. Jual-beli itu pula tidak boleh hanya untuk mencari keuntungan. Yang lebih penting ialah untuk merealisasikan peranan manusia sebagai hamba Allah, mencari keredhaan Allah, untuk memenuhi fardhu kifayah.

Ertinya ilmu Fiqh dan Tasauf itu tidak boleh terpisah dari ilmu Tauhid. Rasa kehambaan terhadap Allah perlu tumbuh bersama dengan pelaksanaan Fiqh dan Tasauf tadi. Hasil dari melaksanakan Fiqh, Tasauf dan Tauhid inilah lahirnya sistem perniagaan Islam, yakni salah satu sistem pembangunan berteraskan Islam.

Begitulah juga dengan peringkat yang lebih tinggi seperti pembentukan negara Islam. Ia boleh bermula hanya dengan melaksanakan ilmu Fiqh dalam bab jinayah. Oleh kerana tidak mungkin peraturan jinayah dapat direalisasikan kecuali ada pemerintahan, maka negara Islam sangat diperlukan sekali. Namun begitu pemerintah Islam tidak boleh memerintah tanpa melaksanakan ilmu Tasauf. Mereka tidak boleh ego, tidak boleh ujub, tidak boleh riya’, tidak boleh bangga diri, tidak boleh tidak adil, tidak boleh pentingkan diri, tidak boleh mendedahkan keaiban rakyatnya, tidak boleh menggunakan kemudahan pemerintahan untuk kepentingan peribadi, keluarga dan sahabat handainya. Dorongan untuk membuang segala sifat terkeji ini datangnya dari rasa keTauhidan yang tinggi kepada Allah SWT.

Dengan lain perkataan, hanya dengan pelaksanaan ketiga-tiga bentuk ilmu fardhu `ain itulah baru lahir sebuah negara Islam yang tulin, negara Islam yang aman dan diampuni Allah. Begitulah dinamiknya ilmu fardhu `ain.

Berdasarkan hujjah-hujjah di atas, semua sistem Islam amnya dan sistem pembangunan berteraskan Islam khususnya tidak mungkin lahir kecuali setiap para pelakunya mempunyai dan mengamalkan ilmu Fardhu `Ain. Paling tidak setiap pelaku itu mesti secara ringkas memahami dan menghayati lima rukun Islam dan enam rukun iman dalam bidang Tauhid, memahami dan menghayati rubu’ ibadah, muamalat, munakahat dan jinayah dalam bidang Fiqh, dan memahami dan menghayati hal-ehwal mengenal diri dan membersihkan rohani dalam bidang Tasauf.

Kalau tidak, pembangunan berteraskan Islam tidak mungkin akan lahir. Ia tidak boleh lahir hanya semata-mata dari ilmu pembangunan. Sebaliknya pembangunan berteraskan Islam mesti lahir dengan tertunjang kepada ilmu fardhu `ain secara bersepadu. Dengan ini ilmu fardhu `ain menjadi kerangka kepada pembangunan berteraskan Islam dan mempastikan ianya tidak terbabas dari landasan aqidah, syariat dan akhlak Islamiah.
Dalam Islam, apa pun bentuk amalan atau dasar yang hendak dilaksanakan mestilah di atas landasan yang benar bertunjangkan ilmu fardhu 'ain dan ilmu fardhu kifayah serta berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

Monday, July 27, 2009

selamat datang
 

©2009 Al-Ilmu | Muslimah Sejati | Dibuat oleh Ct'Skdz